Pada hari ini, saya bersama kawan-kawan pergi ke
pekan untuk menukar kad Bank Islam. Sesampainya kami di Bank Islam, kami
mendapati terdapat ramai pelajar sedang menunggu giliran untuk menukar kad Bank
Islam. Saya memerhati keadaan sekeliling dan
mendapati bahawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris merupakan
bakal guru yang bitara dan masih mengamalkan nilai-nilai murni antaranya
hormat-menghormati. Alhamdulilah, selang beberapa minit saya dapat
menyelesaikan urusan tanpa ada sebarang masalah ataupun gangguan. Bukan itu
sahaja, tujuan kami ke sana juga adalah
untuk mencari hadiah bagi Program Pragaduasi. Semasa kami membeli-belah untuk
mencari barang-barang, saya ternampak sekumpulan budak remaja sedang duduk berpeleseran di kaki lima kedai.
Saya mendapati mereka dalam lingkungan usia belasan tahun. Saya amat kecewa
dengan sikap mereka disebabkan dalam usia yang masih muda, mereka sudah
berjinak-jinak dengan budaya merokok. Mereka tanpa segan-silu merokok dihadapan
khalayak ramai malah mereka dengan beraninya mengeluarkan kata-kata manis untuk
mengurat anak-anak gadis yang lalu dihadapan mereka. Saya dan kawan-kawan tidak
menghiraukan perlakuan mereka malah kami meneruskan aktiviti kami di pekan dengan
berbelanja barang-barang.
BICARAKU
Amalan merokok merupakan salah satu amalan yang
menyumbang kepada gaya hidup tidak sihat. Secara umumnya, dapat dikatakan
bahawa rokok merupakan sejenis bahan yang berbahaya kepada perokok dan juga orang
sekeliling. Asap rokok merupakan salah satu penyumbang kepada 85% kanser
antaranya kanser paru-paru. Oleh sebab itu, orang sekeliling perokok merupakan
penyumbang utama kepada penyakit kanser. Jika kita lihat kandungan kimia yang
terkandung pada sebatang rokok amat banyak dan akan mengakibatkan pelbagai
penyakit antaranya keguguran, ulser, kanser paru-paru dan sebagainya. Antara
bahan kimia yang terdapat pada sebatang rokok adalah tar, karbon monoksida,
aseton, methanol, urea, hydrogen sianida dan sebagainya. Bahan-bahan kimia
inilah yang akan mendatangkan kerosakan pada organ tubuh manusia dan seterusnya
menyumbang kepada meningkatnya pesakit kanser.
Sayangnya generasi muda pada masa sekarang sudah
berjinak-jinak dengan amalan ini. Kadang-kadang saya berasa pelik dengan remaja
muda pada masa sekarang yang berpendapat bahawa jika mereka tidak merokok maka
mereka dikatakan tidak matang dan
bukannya lelaki sejati. Oleh itu, kita sebagai masyarakat perlu membimbing anak
muda pada masa sekarang supaya mereka tidak mengamalkan gaya hidup yang tidak
sihat. Ibu bapa merupakan faktor utama yang akan membimbing mereka kearah
kebaikan. Ibu bapa perlu menunjukkan amalan positif kepada anak-anak dengan
mengamalkan gaya hidup sihat antaranya beriadah. Ibu bapa juga perlu
menunjukkan tingkah laku yang baik kepada anak-anak. Bak kata pepatah bapa
borek anak rintik. Bukan itu sahaja, pihak sekolah perlu menjalankan
tanggungjawab mereka dengan mengadakan kempen atau pameran “Tak Nak Merokok”
atau “Katakan Tidak Pada Rokok”. Hal ini disebabkan salah satu punca remaja
terlibat dalam gaya hidup tidak sihat ini bermula di peringkat sekolah. Mereka
mudah terpengaruh dengan kawan-kawan dan persekitaran yang tidak sihat. Dengan
adanya kerjasama antara ibu bapa dan pihak sekolah maka masalah ini dapat
diselesaikan. Persis kata peribahasa melayu, berat sama dipikul ringan sama
dijinjing.
No comments:
Post a Comment