cursor

Transparent Sexy Pink Heart

Saturday, 16 March 2013

SITUASI 10 : RINDU AYAH



Bulan March ini merupakan bulan yang memberikan kesan yang mendalam kepada diri saya. Pada bulan ini, saya kehilangan kasih seorang ayah.  Ayah saya meninggal ketika usia saya 17 tahun dan pada ketika itu saya berada ditingkatan lima. Pada peringkat awal saya tidak dapat menerima kepergiannya tetapi lama-kelamaan saya redha dengan ketentuan takdir. Saya masih teringat sewaktu sepupu saya menelefon saya dan memberitahu saya bahawa ayah sudah tiada. Ayah menghembuskan nafasnya yang terakhir kira-kira jam 5 pagi. Saya berasa terkejut dan tidak mampu untuk berkata-kata. Kelopak mata saya berkaca dan menunggu masa untuk mengalirkan air mata. Selang beberapa minit, air mataku mengalir membasahi pipi tanpa saya sedari. Saya terus memberitahu ibu tentang keadaan ayah. Setelah mendengar berita tersebut, ibu terus membuat persiapan untuk menguruskan hal pengebumian ayah. Saya mendapati ibu begitu kuat dalam menghadapi dugaan hidup. Saya terfikir “Adakah ibu sudah bersedia untuk bergelar janda?” dan “Adakah ibu mampu untuk menyara kami lima beradik?”. Saya yakin ibu sudah bersedia dengan takdir yang telah ditetapkan.

Selang beberapa hari selepas pemergian ayah, ibu menunaikan tanggungjawab sebagai seorang ayah. Dia mencari rezeki dengan menjual kuih di pasar. Saya berasa kasihan melihat ibu bangun pada awal pagi iaitu kira-kira jam 4.00 pagi untuk membuat persiapan sebelum pergi menjual. Saya berjanji dan berazam akan belajar bersungguh-sungguh agar dapat membantu meringankan beban ibu. Alhamdulilah, Allah maha adil. Sekarang, ibu tidak perlu bersusah-payah bekerja. Walaupun ibu menyara kami seorang diri namun ibu sudah berjaya mencorak kami menjadi anak yang soleh dan solehah. Saya telah melanjutkan pelajaran ke Universiti Pendidikan Sultan Idris, adik saya yang kedua pula telah berkhidmat dalam bidang kejururawatan manakala adik lelaki saya pula sudah berkerja di sebuah syarikat. Saya berbangga memiliki ibu sepertinya. Ibu merupakan seorang yang tabah mengharungi dugaan dan cabaran tanpa mengenali arti putus asa. Saya perlu belajar daripada ibu untuk menjadi kuat dan tabah dalam mengharungi hari-hari yang mendatang. Saya sayang ibu bapa saya.



BICARAKU

Ajal maut di tangan Allah. Kita tidak tahu bila kita akan mati meninggalkan dunia, keluarga, kawan-kawan dan harta benda. Tidak kira usia tua ataupun muda, kita akan dijemput oleh-Nya. Setiap kejadian yang berlaku sama ada susah atau senang adalah ujian bagi kita.  Kehilangan orang yang tersayang merupakan kehilangan yang amat menyakitkan. Kita harus sedar bahawa kita semua tidak akan kekal di dunia. Kita adalah milik-Nya. Kita perlu kuat dan tabah dalam menjalani kehidupan yang penuh onak duri. 


No comments: