cursor

Transparent Sexy Pink Heart

Saturday, 6 April 2013

SITUASI 25 : BAHASA MELAYU VS BAHASA ASING



Semasa kelas Sosiolinguistik, saya amat tertarik dengan satu video yang diusulkan oleh Dr Siti Saniah dalam membincangkan Neka Bahasa. Videonya bertajuk Belacan dan Paku = http://www.youtube.com/watch?v=JlEoENyGsVo Beliau mengatakan bahawa video tersebut sangat menarik dan dapat memperlihatkan keistimewaan bahasa Melayu. Saya menonton video tersebut di rumah. Memang benar kata-kata Dr Siti Saniah. Saya berasa kagum dengan pelakon di atas yang terdiri daripada masyarakat luar yang mahir bertutur dalam bahasa Melayu. Tetapi, saya berasa amat sedih disebabkan masih ada masyarakat Malaysia terutamanya masyarakat Melayu, sering kali menggunakan bahasa asing dalam pertuturan harian mereka. Agaknya mereka hendak menjadi minah atau mat salleh celop. Saya juga berasa geram dengan sikap sepupu saya yang suka memperlecehkan bahasa Melayu. Dia sering kali menggunakan bahasa Inggeris dalam pertuturan seharian. Dia juga ada mengatakan bahawa dia kurang fasih dalam berbahasa Melayu. Hal ini disebabkan dia dibesarkan di Singapura. Oleh sebab itu, dia kurang fasih berkomunikasi dalam bahasa Melayu. 

BICARAKU  


Bahasa Melayu dikatakan alat berkomunikasi. Bahasa amat penting dalam kehidupan kita. Bahasa digunakan oleh masyarakat untuk berinteraksi antara satu sama lain. Tambahan pula, bahasa digunakan oleh masyarakat untuk menyampaikan maklumat. Masyarakat pada hari ini sudah terpengaruh dengan bahasa asing sehinggakan mereka suka bertutur dalam bahasa Inggeris. Bukan itu sahaja, ada segelintir masyarakat yang mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Hal ini dikatakan pencemaran bahasa berlaku dalam kalangan masyarakat Malaysia. Pencemaran bahasa merujuk kepada penggunaan bahasa yang menyimpang daripada norma penggunaan bahasa sebenar. Bahasa Melayu dikatakan telah mengalami perubahan kepada bahasa rojak, bahasa slanga dan bahasa asing. Bahasa Rojak dikatakan bahasa yang bercampur-aduk antara bahasa Melayu dengan bahasa asing terutamanya bahasa Inggeris yang semakin hebat pengaruhnya. Pencemaran bahasa telah memberikan impak negatif kepada bahasa itu sendiri. Mutu bahasa Melayu sama ada dalam bentuk lisan atau tulisan akan merosot. Pelajar terutamanya akan menggunakan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam pertuturan dan penulisan. Hal ini bukan sahaja mendatangkan kesan negatif kepada kualiti penulisan sekolah malah pengetahuan pelajar terhadap bahasa Melayu akan merosot. Jadi, kita perlu berusaha dengan gigih dalam mengekalkan penggunaan bahasa Melayu dalam berkomunikasi. 

SITUASI 24 : KAKAK KE MAK CIK ?

Hari ini saya masih ingat peristiwa semasa saya sedang membeli-belah di pekan. Peristiwa ini berpunca daripada saya yang memanggil seseorang dengan panggilan pak cik. Padahal orang tersebut kelihatan sebaya dengan saya. Saya tidak suka memanggil lelaki tersebut dengan panggilan abang. Hal ini disebabkan lelaki tersebut tidak mempunyai kaitan dengan saya. Tindakan saya ini telah menyebabkan lelaki tersebut memandang saya dengan pandangan yang sinis dan dia menunjukkan sikap kurang senang terhadap saya. Saya melihat mukanya tidak memancarkan sedikit senyuman kepada saya. Saya berasa kecewa dengan sikap peniaga tersebut sehinggakan saya meluahkan perasaan kurang selesa kepada kawan saya. Kawan saya memberitahu bahawa saya memanggil dia dengan panggilan yang kurang sesuai. Apabila rakan saya memberitahu hal yang sebenar, baru saya menyedari kesalahan saya. Sepatutnya, saya perlu memanggil dia dengan panggilan saudara. 

BICARAKU

Bahasa sapaan juga dikenali sebagai bahasa panggilan. Bahasa sapaan digunakan oleh masyarakat dalam bertutur. Bahasa sapaan yang digunakan oleh masyarakat dapat mengambarkan kesantunan. Bahasa sapaan merupakan sesuatu perkataan yang merujuk pada orang yang disapa.  Jika kita lihat, seorang anak tidak boleh menggunakan bahasa sapaan yang sama dengan bahasa sapaan yang digunakan terhadap rakan-rakan. Mereka tidak boleh memanggil ibu mereka dengan panggilan kau. Jika mereka menggunakan bahasa sapaan yang tidak betul maka hubungan dan ikatan sosial antara mereka akan terjejas. Kata sapaan dapat dibahagikan kepada beberapa jenis antaranya kata sapaan yang menunjukkan hubungan kerabat, kata sapaan yang berbentuk kata ganti nama, kata sapaan yang menunjukkan rasa hormat dan kata sapaan yang diikuti dengan nama. Kesantunan bahasa merangkumi penggunaan kata ganti nama yang merujuk kepada kedudukan, pangkat, umur, dan keakraban hubungan. Dalam sistem kekeluargaan, kata sapaan yang menunjukkan hubungan kerabat digunakan. Kita tidak boleh memanggil mereka dengan menggunakan nama. Bahasa sapaan yang sering digunakan adalah mak long, pak long, nenek, mak jang, pak jang, mak ngah dan sebagainya. Contohnya dapat dilihat pada gambar di bawah 





Kata sapaan yang menunjukkan rasa hormat sering digunakan dalam majlis yang bersifat formal. Rujukan hormat yang digunakan dalam majlis adalah seperti di bawah 

Orang Yang DisapaRujukan Hormat
Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri AgongKebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda
Sultan, Raja, Sultanah, Tengku Ampuan, Raja PermaisuriDuli Yang Maha Mulia
Balu RajaYang Maha Mulia
Raja Muda atau Tengku MahkotaDuli Yang Teramat Mulia atau Yang Teramat Mulia
Kerabat Diraja KaribYang Amat Mulia
Bergelar warisanYang Mulia
Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar, Ketua MenteriYang Amat Berhormat
Menteri, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (wakil rakyat)Yang Berhormat
Wakil Rakyat yang mempunyai gelaran Tengku atau RajaYang Berhormat Mulia
Tun, Toh PuanYang Amat Berbahagia
Yang mempunyai gelaran kurniaan kerajaan (selain Tun dan Toh Puan) atau/dan gelaran ikhtisas yang formalYang Berbahagia
Ketua Hakim NegaraYang Amat Arif
Ketua Polis NegaraYang Amat Setia
Hakim, KadiYang Arif
Mufti dan pemimpin IslamSahibul Samahah
Ketua jabatan tanpa gelaranYang Berusaha

Friday, 5 April 2013

SITUASI 23 : BAHASA IKLAN


Iklan merupakan salah satu wadah untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat sama ada masyarakat tersebut sebagai penonton atau pembaca. Jika kita lihat, iklan di televisyen banyak mempengaruhi masyarakat kita pada masa sekarang. Contohnya pada iklan di atas. Iklan tersebut telah mempengaruhi saya untuk membeli maggi dan memakannya. Hal ini disebabkan bahasa yang digunakannya berjaya mempengaruhi saya untuk memakan maggi walaupun maggi dikatakan makanan yang tidak sihat untuk dimakan. 

BICARAKU

Bahasa iklan merupakan medium penyampaian maklumat yang mempunyai tujuan tertentu antaranya untuk mempromosikan barangan atau produk, menyediakan perkhidmatan dan sebagainya. Dapat dikatakan bahawa bahasa iklan merupakan salah satu teknik memujuk dan merayu. Ada pendapat mengatakan bahawa bahasa iklan dikatakan  mesej yang digunakan sebagai panduan ke arah yang lebih baik atau positif. Iklan kebiasaannya disampaikan melalui media massa iaitu media elektronik dan media cetak. Kebiasaanya bahasa yang digunakan dalam iklan-iklan amat menarik sehinggakan masyarakat tertarik dengan produk yang diperkenalkan. Contohnya pada iklan di atas, bahasa memujuk yang digunakan adalah 
  •  Apa yang baru?
  • Mee gandum kenyal?
  • Bawang goreng sebenar
  • Aromanya, fuh!
  • Pedas menyelerakan







SITUASI 22 : USIA EMAS


Malaysia merupakan sebuah negara yang hebat dari segi pembangunannya. Pembangunan dari segi  infrastruktur dikatakan dapat menjadikan negara kita dipandang tinggi oleh negara lain. Jika kita lihat,pembinaan Putrajaya, Istana Budaya, Kompleks Sukan Negara, Sistem Transit Rel Ringan PUTRA dan sebagainya memberikan kemudahan kepada kita sebagai rakyat Malaysia. Tetapi, masyarakat pada masa sekarang terutamanya golongan muda terlalu taksub dengan kemudahan yang telah disediakan sehinggakan mereka lupa untuk mengaplikasi nilai-nilai murni dalam kehidupan mereka. Pembangunan yang disediakan perlu dikongsi tidak kira tua ataupun muda.  Mereka mengandaikan mereka hanya hidup pada zaman mereka sahaja tanpa adanya golongan tua. Semasa saya berada di dalam komuter, saya berasa amat kecewa dengan sikap golongan muda pada masa sekarang. Mereka memandang rendah terhadap golongan tua terutamanya. Mereka tidak memberi peluang kepada golongan tua untuk duduk sedangkan masih ada ruang disebelah mereka. Contohnya dapat dilihat pada gambar di bawah : 

Berdasarkan gambar di atas, terdapat ruang disebelah remaja perempuan tersebut. Tidak salah jika mereka memberikan ruang kepada golongan tua untuk duduk. Tindakan yang dilakukan oleh mereka dapat dikatakan seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. 

BICARAKU 

Kita bukan sahaja hidup dalam negara yang terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum malah kita juga hidup dalam masyarakat yang terdiri daripada pelbagai golongan. Amalan hormat-menghormati perlu diterapkan dalam diri. Kita tidak sepatutnya memandang rendah kepada golongan tua kerana pada suatu hari nanti kita juga akan seperti mereka. Jadi, tidak salah  golongan muda pada masa sekarang  mengamalkan amalan hormat-menghormati. Amalan ini jika tidak diterapkan dari kecil lagi maka situasi inilah yang akan sering berlaku tidak kira dimana dan masanya. Siapakah yang perlu dipersalahkan? Adakah guru, ibu bapa atau diri sendiri? Ibu bapa perlu menerapkan nilai-nilai murni pada anak-anak sejak kecil. Pepatah Melayu ada mengatakan melentur buluh biarlah dari rebungnya. Amalan ini jika sering diamalkan maka tidak kekok bagi mereka untuk melakukannya walaupun mereka berada di tempat yang baru. Begitu juga peranan yang dimainkan oleh pihak sekolah dengan mengadakan kempen ataupun ceramah. Tuntasnya, dapat dikatakan bahawa amalan hormat-menghormati merupakan salah satu amalan yang perlu diterapkan dalam diri. 





SITUASI 21 : ANAK TUPAI

Semasa membuat tugasan, saya telah terdengar seorang rakan saya menyanyikan sebuah lagu daerah iaitu "Anak Tupai". Saya berasa tertarik dengan liriknya yang menggunakan dialek daerah. Di sini saya sertakan lirik lagu tersebut

Ado Sekor anok tupai atah julai mokte
Kudung esok perut lapar jalan cari makan 

Kejadian tuhan dipanggil nama tupai
Asalnya dale hutan sejenis mamalia

Kalu pasal jakit kok dehe dialah yang paling pandai 
Jatuh jare jare kerana dia tak sabor

Pansai-pansai tupai melompat jatuh tanah jugok 
Tak wi gambar ore jahat jale telajok mangok 

Ore jame ritu pakat hambat tupai 
Bimbe ko woh kayu takuk tokdan besar 

Nyor derian duku kalu dan nye kerit tupai 
Pendek tahun tu nyor derian tak dan nak jual

...

BICARAKU 

Secara umumnya, dialek merupakan satu variasi dari satu masa tertentu yang dituturkan oleh sekumpulan penutur dalam sesebuah masyarakat atau komuniti bahasa. Hari ini, masyarakat kurang memberi perhatian terhadap dialek daerah. Mereka hanya pandai berkata-kata malah mereka kurang mengaplikasikannya dalam lagu. Jika kita lihat, kebanyakan lagu yang menggunakan dialek daerah amat kurang dihasilkan oleh masyarakat pada masa kini. Bukan itu sahaja, tidak semua orang mengetahui dialek daerah daripada negeri lain. Contohnya, masyarakat johor hanya mengetahui dialek jawa sahaja begitu juga dengan masyarakat daripada negeri Kelantan dan Terengganu. Kita sebagai rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai negeri. Tidak salah bagi kita untuk mempelajari dialek daerah daripada negeri lain. Hal ini disebabkan bahasa Melayu mempunyai banyak dialek yang berbeza dari segi sebutan, perbendaharaan kata dan tatabahasa. Contohnya, cara menyebut perkataan apa. Setiap daerah berbeza penyebutannya. Ada masyarakat Kedah yang menyebut perkataan apa dengan sebutan apa, Negeri Sembilan menyebut perkataan apa dengan sebutan apo manakala masyarakat negeri Johor, Melaka dan Selangor menyebut perkataan apa dengan sebutan ape. Tuntasnya, dapat dikatakan bahawa setiap negeri mempunyai dialeknya yang tersendiri.

Monday, 1 April 2013

SITUASI 20 : PENDEKAR BUJANG LAPOK

Saya tidak suka menghabiskan masa yang terluang dengan melakukan perkara yang sia-sia. Saya suka menonton televisyen pada waktu petang. Saya teringin hendak menonton filem lama yang telah dibintangi oleh seorang Seniman Agung yang terkenal iaitu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Saya amat meminati filem Pendekar Bujang Lapok. Filem ini telah dibintangi oleh dua orang sahabat beliau iaitu Ajis dan Sudin. Saya berasa seronok menonton filem ini kerana filem ini dapat memberikan banyak impak positif kepada masyarakat pada masa kini berkaitan kehidupan kita apabila hidup masyarakat. Bahasa yang digunakan juga kebanyakannya menggunakan bahasa sindiran. Filem ini merupakan filem yang amat mementingkan ilmu pendidikan. Hal ini dapat dilihat apabila P Ramlee, Sudin dan Ajis telah dihantar ke sekolah diesebabkan mereka tidak tahu membaca. Jadi, dapat dikatakan bahawa amalan membaca amat penting dalam kehidupan. Tanpa ilmu ini, kita dipandang rendah. 

BICARAKU  


Filem Pendekar Bujang Lapok merupakan filem yang telah ditayangkan pada tahun 1958 selepas Tanah Melayu mengecapi kemerdekaan. Filem ini merupakan filem yang mempunyai isi tersiratnya yang tersendiri. Melalui filem ini, Allahyarham dapat menyampaikan kritikan dan teguran kepada masyarakat Tanah Melayu. Mayarakat pada masa dahulu merupakan masyarakat yang takut untuk menegakkan keadilan. Contohnya dapat dilihat pada filem di atas. Kedatangan Pendekar Mustar telah membuka mata masyarakat Melayu bahawa mereka perlu menegakkan keadilan. Mereka tidak boleh dipandang lemah. Bukan itu sahaja, beliau juga telah mengkritik satu babak iaitu babak pisang. Salah seorang anak muda telah mencuri pisang daripada seorang wanita. Wanita tersebut menggunakan bahasa sindiran. Dialognya " Eh, jangan mencurilah. Kalau nak, kita boleh bagila!". Bahasa sindiran merupakan bahasa yang banyak digunakan oleh beliau dalam memberi teguran kepada masyarakat pada masa kini melalui filem yang dihasilkannya.Saya kagum dengan filem yang dihasilkan oleh Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Disebalik kita ketawa terbahak-bahak menonton filem beliau, kita tidak menyedari mesej yang hendak disampaikan oleh beliau. Kita perlu meneliti setiap perilaku yang telah deperankan oleh pelbagai watak sama ada watak antogonis atau sebaliknya.  

SITUASI 19 : YIK MUN ATAU YIK MAN


Semasa saya dalam perjalanan ke Kampus Baru, saya memerhati keadaan sekeliling. Saya amat tertarik dengan nama sebuah kedai iaitu kedai pau yik mun. Saya masih teringat ketika saya berada dalam kelas sosiolinguistik, Dr Siti  Saniah ada bertanyakan kami sebutan bagi kedai pau yik mun yang terkenal di Tanjung Malim. Kami berasa keliru dengan sebutan tersebut. Setahu kami, kami menyebutnya dengan menggunakan suku kata bahasa Melayu. Alangkah terkejutnya kami, Dr Siti Saniah memberitahu bahawa sebutan tersebut salah. 

BICARAKU  



Yik Mun merupakan bahasa yang berasal daripada suku kata Cina. Setiap bahasa mempunyai perbezaan dari segi sebutannya. Contohnya dapat dilihat pada sebutan pau Yik Mun. Kita perlu menguasai sebutan daripada bahasa lain, amat rugi bagi kita yang tidak mengetahui sebutan daripada bahasa lain. Jika kita dapat menguasai lebih daripada satu bahasa maka  kita tidak berasa malu untuk menyebut perkataan yang menggunakan sebutan bahasa lain selain bahasa Melayu. Bukan itu sahaja, jika kita dapat menguasai lebih daripada satu bahasa maka perbendaharaan kata semakin meningkat dan ilmu pengetahuan kita juga akan meningkat. Banyak impak positif yang dapat kita peroleh antaranya memudahkan komunikasi antara kita dengan masyarakat daripada luar negara. 




Thursday, 28 March 2013

SITUASI 18 : BAHASA KARTUN

Saya masih teringat pada waktu pagi selepas membuat kerja rumah,  saya akan duduk di depan televisyen. Cuba anda semua teka, apakah rancangan yang ditunggu-tunggu?. Saya menunggu rancangan kartun yang menjadi hiburan saya pada pagi hari iaitu rancangan Upin dan Ipin. Setiap kali rancangan ini ditayangkan, saya pasti sudah duduk menghadap televisyen. Malah adik saudara saya yang berumur tiga tahun juga meminati kartun ini.


BICARAKU 


Jika kita lihat di kaca televisyen, terdapat banyak rancangan kartun yang disiarkan di televisyen. Cerita kartun tersebut ada diantaranya diimport daripada luar negara antaranya kartun Doraemon, Shinchan dan sebagainya. Bukan sahaja kanak-kanak yang berumur dalam lingkungan dua hingga enam tahun yang menontonnya malah dalam kalangan remaja juga tertarik dengan  program ini. Namun, adakah program ini membawa impak positif kepada kanak-kanak?. Jika ya, alhamdulilah. Contohnya  rancangan Upin dan Ipin banyak memberikan pengajaran kepada kanak-kanak terutamanya. Rancangan ini bukan semata-mata berbentuk hiburan semata-mata malah rancangan ini mempunyai nilai-nilai murni yang perlu diterapkan dalam diri mereka. Mereka mengandaikan Upin dan Ipin sebagai ikon mereka. Dengan adanya ikon, malah mereka akan mengikut perilaku positif yang dilakukan oleh watak yang terdapat dalam rancangan tersebut. Malah, jika kartun yang didedahkan kepada mereka tidak baik untuk ditonton maka secara tidak langsung mereka akan mengikut perilaku tersebut. Jadi, peranan ibu bapa amat penting dalam mendidik anak-anak ke arah kebaikan. Kebiasannya, bahasa kartun merupakan bahasa yang kadangkala tidak sesuai untuk didengar oleh kanak-kanak. Contohnya, bodoh, benggong dan sebagainya. Secara tuntasnya, dapat dikatakan bahawa kanak-kanak perlu didedahkan dengan medium yang mempunyai unsur-unsur positif. Pendidikan dari sejak kecil amat penting. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

SITUASI 17 : INDAHNYA PANTUN



Ku semai padi penuh sebendang, 
Selepas sehari-hari membajak, 
Hari ini saya bertandang, 
Datang kemari membawa hajat. 

Pantun diatas merupakan pantun yang digunakan oleh masyarakat pada masa kini dalam menyampaikan maksud tersurat. Jika kita lihat, pantun diatas kurang digunakan masyarakat pada masa kini. Saya masih teringat ketika pak cik saya pergi meminang seorang gadis untuk adik lelakinya. Pak cik saya tidak menggunakan pantun untuk menyampaikan hajat malah dia terus memberitahu pihak perempuan tentang hajat kami ke sana. Saya berasa hairan dengan masyarakat pada masa sekarang yang tidak menggunakan pantun sebagai medium untuk menyampaikan hajat secara tersurat. 

BICARAKU 


Pantun merupakan salah satu medium komunikasi yang menarik. Pantun dikatakan sebagai puisi yang terdiri daripada dua bahagian iaitu bahagian pembayang dan maksud. Kebiasaannya, maksud yang ingin disampaikan berada pada bahagian kedua. Pada bahagian pertama merupakan bahagian pembayang yang menggunakan unsur alam fizikal dan alam nyata yang dapat dilihat, disentuh, dan dirasai oleh pancaindera manusia. Pantun dapat dibahagikan kepada beberapa baris antaranya dua baris, empat, enam dan lapan baris. Secara umumnya, pantun dapat dikategorikan kepada bebera jenis iaitu pantun adat, jenaka, nasihat, sindiran dan sebagainya. Setiap pantun yang dihasilkan mempunyai fungsi dan maksudnya yang tersendiri. Pantun mempunyai pelbagai fungsi antaranya  pantun digunakan untuk menyampaikan maklumat secara halus, untuk meluahkan perasaan rindu atau sayang, dalam adat istiadat, untuk sindiran, hiburan dan memberi nasihat. 





Tuesday, 26 March 2013

SITUASI 16 : BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA PERPADUAN

Bahasa Melayu dikatakan bahasa pengantar yang digunakan masyarakat pada hari ini dalam proses berkomunikasi untuk menyampaikan maklumat. Secara umumnya bahasa Melayu sering kali digunakan oleh masyarakat Melayu. Tetapi saya berasa sungguh berbangga kerana bahasa Melayu juga digunakan oleh masyarakat selain masyarakat Melayu antaranya masyarakat India, Cina dan yang paling membanggakan saya adalah  masyarakat luar juga menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar mereka. Semasa saya sedang mencari bahan di perpustakaan, saya telah ditegur oleh seorang pelajar. Saya mendapati pelajar tersebut bukan  daripada warganegara Malaysia. Pelajar tersebut menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar  untuk berkomunikasi dengan saya. Saya berasa terkejut dengan bahasa yang digunakannnya malah berasa malu dengan sikap masyarakat kita yang sering kali menggunakan bahasa lain sebagai bahasa Melayu untuk berkomunikasi. 

BICARAKU 

Perpaduan dikatakan sebagai satu proses menyatupadukan masyarakat daripada pelbagai kaum. Tanpa kita sedari, bahasa Melayu merupakan bahasa yang dapat menyatupadukan masyarakat. Perpaduan yang wujud memberikan kesan positif kepada negara kerana melalui bahasa, semangat cinta akan tanah air akan tersemat dalam diri. Jika kita lihat pada situasi diatas, dapat dikatakan bahawa masyarakat luar juga memandang tinggi terhadap negara Malaysia. Tetapi, jika kita lihat pada gambar disebelah dapat dikatakan bahawa masih ada masyarakat pada masa ini yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Tidak salah menggunakan bahasa Inggeris tetapi kita perlu mengutamakan bahasa kebangsaan kita. Bahasa Inggeris juga dikatakan bahasa ilmu dan bahasa kedua. Jadi, tidak salah kita menguasai bahasa ini kerana semakin banyak penguasaan kita terhadap sesuatu bahasa maka semakin hebat pemikiran dan pengetahuan kita. Kita sepatutnya berasa malu dengan orang luar seperti situasi diatas.  Hal ini dapat dibuktikan apabila mereka menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar apabila berada di negara kita. Perpaduan yang wujud memberikan kesan positif kepada negara. Masyarakat tidak terdorong untuk melakukan perkara yang mendatangkan kesan negatif kepada diri, masyarakat dan negara antaranya peperangan, pencerobohan dan sebagainya. Contohnya, kelulusan pelajar dalam peperiksaan SPM adalah lulus dalam mata pelajaran bahasa Melayu. Jadi, semua pelajar daripada pelbagai kaum perlu menguasai mata pelajaran ini walaupun kebanyakan daripada mereka tidak mahir bertutur dalam bahasa Melayu. Tuntasnya, dapat dikatakan bahawa bahasa Melayu juga dikatakan sebagai bahasa perpaduan. Bahasa perpaduan ini merupakan salah satu saluran ke arah kecemerlangan negara dari segi ekonomi, sosial dan politik. 


Saturday, 23 March 2013

SITUASI 15 : BAHASA HALUS VS BAHASA KASAR

Pada entri ini, saya akan membincangkan hubungan antara bahasa halus dan bahasa kasar dalam kehidupan seharian kita. Bahasa halus berbeza dengan bahasa kasar. Bahasa halus merupakan bahasa yang besopan dan berbudaya tinggi manakala bahasa kasar merupakan bahasa yang dikatakan bahasa yang tidak sopan. Semasa saya sedang mencari buah-buahan di sebuah pusat membeli-belah, saya terdengar satu perbualan antara dua sahabat yang sudah lama tidak berjumpa. Saya mendapati mereka menggunakan bahasa halus dalam perbualan mereka. Mereka menggunakan perkataan berbadan dua untuk mengandung, orang rumah untuk isteri  dan buang air kecil untuk kencing. Hal ini dapat dikatakan bahawa bahasa halus merupakan bahasa yang mementingkan amalan sopan-santun. Amalan ini merupakan amalan yang dapat mengeratkan hubungan antara satu sama lain. Bukan itu sahaja, bahasa sopan juga menggunakan kata ganti nama yang sopan dan menggunakan nada yang rendah dalam setiap perbualan. Penggunaan nada yang tinggi bukan sahaja mendatangkan kemarahan pendengar malah mendatangkan masalah kepada hubungan antara pendengar  dan penutur. 
BICARAKU 

Kita perlu menggunakan bahasa halus dalam pertuturan seharian. Jika kita menggunakan bahasa halus dalam berkomunikasi maka secara tidak langsung pendengar mudah memahami maklumat atau idea yang ingin disampaikan. Bukan itu sahaja, hubungan antara dua pihak tidak mendatangkan masalah. Secara realitinya, masalah perselisihan faham sering kali berlaku disebabkan masyarakat pada masa sekarang sering menggunakan bahasa kasar dalam bertutur. Bukan itu sahaja, bahasa kasar yang digunakan akan menggores hati dan perasaan pendengar tanpa disedarinya. Contohnya bahasa kasar yang sering digunakan adalah celaka, bini, meroyan dan sebagainya. Jadi, dapat dikatakan bahawa bahasa itu penting tanpa adanya bahasa, hubungan masyarakat tidak seakrab ini. 

SITUASI 14 : BAHASA ISYARAT


Gambar di atas sering kali kita jumpa di mana-mana. Contohnya di perhentian bas, hospital, dan sebagainya. Tetapi adakah masyrakat pada masa sekarang memahami maksud yang terdapat pada poster tersebut. Poster tersebut dikatakan sebagai bahasa isyarat yang mempunyai mesej yang tersendiri. Rutin saya pada hari isnin hingga hari khamis adalah mengikuti kuliah. Saya menaiki bas ke kuliah dan mendapati ada poster 



Saya berasa amat kecewa dengan masyarakat pada masa kini yang tidak faham dengan maklumat yang terdapat pada poster tersebut. Mereka makan dan minum didalam bas tanpa menghiraukan poster tersebut. 

BICARAKU 

Bahasa isyarat merupakan salah satu kaedah yang digunakan oleh manusia untuk menyampaikan maklumat atau melahirkan idea. Bahasa isyarat dikaitkan dengan manusia tuli atau pekak. Bukan itu sahaja, bahasa isyarat juga dikaitkan dengan poster seperti yang terdapat pada poster diatas. Berdasarkan poster tersebut, masyarakat memahami maklumat yang ingin disampaikan. Apabila masyarakat melihat poster tersebut, secara automatik masyarakat memahami maksud tersirat yang terdapat pada poster tersebut iaitu kita dilarang makan atau minum di kawasan tersebut. 

SITUASI 13 : DIALEK JOHOR

Johor merupakan sebuah negeri yang mempunyai dialeknya yang tersendiri. Saya ingin berkongsi budaya masyarakat Johor yang tidak boleh dilupakan. Masyarakat Johor merupakan masyarakat yang mengamalkan amalan bergotong-royong. Apabila adanya majlis seperti majlis perkahwinan atau kenduri, mereka akan ringan tulang untuk membantu tuan rumah. Kebiasaanya mereka akan menggunakan perkataan gotong-royong dengan nama "Rewang". "Rewang" merupakan bahasa yang sering digunakan oleh masyarakat sekarang dalam majlis-majlis seperti majlis tahlil, majlis perkahwinan, majlis berkhatan atau sebagainya. Mereka akan berewang dengan melakukan pelbagai aktiviti antaranya memotong bawang, mendirikan khemah, menyapu sampah, memasak, membasuh ayam dan daging atau sebagainya. Bukan itu sahaja, tanpa disedari saya ada menggunakan dialek Johor dalam pertuturan seharian. Contohnya 
  • Almari - Gerobok 
  • Selimut - Gebo 
  • Sabar - Sabo 
  • Nanti - Karang
BICARAKU
Dialek merupakan variasi daripada sesuatu bahasa tertentu dan dituturkan oleh sekumpulan masyarakat bahasa tersebut. Setiap negeri mempunyai dialeknya yang tersendiri antaranya dialek Kelantan, Terengganu, Melaka dan sebagainya. Dialek merupakan salah satu variasi bahasa yang dapat ditentukan oleh faktor geografi dan sosial. Secara umumnya, dialek ini berbeza dari segi sebutan, gaya lagu bahasa, tatabahasa, kata ganti dir dan kosa kata. Setiap negeri mempunyai dialek yang berbeza dengan dialek daripada negeri lain. Kita sepatutnya bersyukur dengan kepelbagaian bahasa yang terdapat di negara Malaysia. Kepelbagaian bahasa ini merupakan keistimewaan Malaysia untuk menarik lebih ramai pelancong datang ke Malaysia. Bukan itu sahaja, kepelbagaian bahasa dapat meningkatkan peerbendaharaan kata seseorang. Contohnya, dialek Utara iaitu Pulau Pinang, Perlis dan Perak Utara merupakan dialek yang berbeza dengan dialek Johor-Riau. Hal ini dapat dilihat pada penggunaan kata : 
  • Ular - Ulaq
  • Telur - Teluq
  • Pasir - Pasiaq
  • Kambing - Kambin 
  • Kuning - Kunin 

SITUASI 12 : PISANG GORENG ATAU GORENG PISANG ?

Pada waktu petang merupakan waktu yang tidak boleh diisi dengan perkara yang tidak berfaedah bagi kami yang sudah berada disemester 8. Pada hari ini, saya bersama-sama tiga orang rakan saya telah melakukan perbincangan berkaitan masalah kami terhadap Projek Tahun Akhir. Semasa kami sedang berbincang, saya memerhatikan keadaan sekeliling. Alangkah terkejutnya saya apabila membaca satu memo yang menulis "Goreng Pisang". Saya berasa kecewa dengan sikap peniaga pada masa sekarang yang tidak memahami aspek bahasa dari segi istilah yang digunakan oleh mereka. Saya fikir peniaga tersebut tidak mementingkan penggunaan bahasa malah mementingkan keuntungan semata-mata tanpa ada sebarang kesedaran untuk berkongsi ilmu dengan masyarakat luar iaitu pembeli. Hal ini yang mendatangkan kekeliruan kepada masyarakat masa kini iaitu golongan kanak-kanak yang baru menjejak ke alam remaja. Kekeliruan yang berlaku menyebabkan mereka mudah melakukan kesalahan dari segi tatabahasa dalam penulisan karangan. 

BICARAKU  

Istilah merupakan salah satu penggunaan bahasa yang sering menimbulkan kekeliruan masyarakat pada masa kini. Kekeliruan yang sering dilakukan oleh peniaga pada masa kini memang tidak dapat disangkal lagi. Contohnya penggunaan istilah pada nama sesebuah kedai iaitu Ahmad Kedai atau Kedai Ahmad. Istilah ini mempunyai kaitan dengan hukum D-M iaitu diterangkan mendahului menerangkan. Jadi berdasarkan hukum D-M, Kedai Ahmad merupakan istilah yang betul berbanding Ahmad Kedai. Saya berharap peniaga pada sekarang peka dengan penggunaan istilah yang akan dipamerkan. Masalah ini jika tidak dibendung ditakuti akan mendatangkan masalah yang lebih besar kepada bahasa kita. 

SITUASI 11 : BAHASA REMAJA MASA KINI


Pada hari ini, saya bersama kawan saya pergi ke Port Dickson untuk membuat kajian terhadap pelajar berkaitan Projek Tahun Akhir kami yang bertajuk "Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif dalam mengembangkan Idea Penulisan Karangan". Kami kesana dengan menaiki kereta yang telah disewa. Pada pukul 11.00 pagi kami tiba di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Samad. Kami dapati keadaan di sekolah amat sibuk disebabkan pada hari ini keputusan SPM telah diumumkan. Saya mendengar perbualan mereka sesama mereka. Ada pelajar yang memanggil kawannya dengan panggilan yang tidak menyenagkan hati contohnya bogek, nanas, labu atau sebagainya. Mereka beranggapan  bahasa yang digunakan oleh mereka menggambarkan keakraban mereka. Contohnya dari segi panggilan Ahmad dipanggil koleng atau Minah dipanggil comel. Bukan itu sahaja, mereka juga menggunakan bahasa kesat  seperti choi, mati kau, mampus, dan sebagainya.  
BICARAKU 

Pada pendapat saya, tidak salah jika remaja pada masa sekarang menggunakan bahasa remaja mereka untuk tujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara mereka. Tetapi, mereka juga perlu berhati-hati dengan bahasa yang digunakan agar bahasa yang digunakan tidak memberikan kesan negatif kepada orang lain. Contohnya dari segi panggilan, tidak semua orang suka dengan panggilan yang telah ditetapkan oleh orang lain. Jadi, kita perlu menggunakan bahasa yang sopan dan betul untuk menjalin hubungan yang akrab dengan orang lain. 

Saturday, 16 March 2013

SITUASI 10 : RINDU AYAH



Bulan March ini merupakan bulan yang memberikan kesan yang mendalam kepada diri saya. Pada bulan ini, saya kehilangan kasih seorang ayah.  Ayah saya meninggal ketika usia saya 17 tahun dan pada ketika itu saya berada ditingkatan lima. Pada peringkat awal saya tidak dapat menerima kepergiannya tetapi lama-kelamaan saya redha dengan ketentuan takdir. Saya masih teringat sewaktu sepupu saya menelefon saya dan memberitahu saya bahawa ayah sudah tiada. Ayah menghembuskan nafasnya yang terakhir kira-kira jam 5 pagi. Saya berasa terkejut dan tidak mampu untuk berkata-kata. Kelopak mata saya berkaca dan menunggu masa untuk mengalirkan air mata. Selang beberapa minit, air mataku mengalir membasahi pipi tanpa saya sedari. Saya terus memberitahu ibu tentang keadaan ayah. Setelah mendengar berita tersebut, ibu terus membuat persiapan untuk menguruskan hal pengebumian ayah. Saya mendapati ibu begitu kuat dalam menghadapi dugaan hidup. Saya terfikir “Adakah ibu sudah bersedia untuk bergelar janda?” dan “Adakah ibu mampu untuk menyara kami lima beradik?”. Saya yakin ibu sudah bersedia dengan takdir yang telah ditetapkan.

Selang beberapa hari selepas pemergian ayah, ibu menunaikan tanggungjawab sebagai seorang ayah. Dia mencari rezeki dengan menjual kuih di pasar. Saya berasa kasihan melihat ibu bangun pada awal pagi iaitu kira-kira jam 4.00 pagi untuk membuat persiapan sebelum pergi menjual. Saya berjanji dan berazam akan belajar bersungguh-sungguh agar dapat membantu meringankan beban ibu. Alhamdulilah, Allah maha adil. Sekarang, ibu tidak perlu bersusah-payah bekerja. Walaupun ibu menyara kami seorang diri namun ibu sudah berjaya mencorak kami menjadi anak yang soleh dan solehah. Saya telah melanjutkan pelajaran ke Universiti Pendidikan Sultan Idris, adik saya yang kedua pula telah berkhidmat dalam bidang kejururawatan manakala adik lelaki saya pula sudah berkerja di sebuah syarikat. Saya berbangga memiliki ibu sepertinya. Ibu merupakan seorang yang tabah mengharungi dugaan dan cabaran tanpa mengenali arti putus asa. Saya perlu belajar daripada ibu untuk menjadi kuat dan tabah dalam mengharungi hari-hari yang mendatang. Saya sayang ibu bapa saya.



BICARAKU

Ajal maut di tangan Allah. Kita tidak tahu bila kita akan mati meninggalkan dunia, keluarga, kawan-kawan dan harta benda. Tidak kira usia tua ataupun muda, kita akan dijemput oleh-Nya. Setiap kejadian yang berlaku sama ada susah atau senang adalah ujian bagi kita.  Kehilangan orang yang tersayang merupakan kehilangan yang amat menyakitkan. Kita harus sedar bahawa kita semua tidak akan kekal di dunia. Kita adalah milik-Nya. Kita perlu kuat dan tabah dalam menjalani kehidupan yang penuh onak duri. 


SITUASI 9 : ROKOK OH ROKOK


Pada hari ini, saya bersama kawan-kawan pergi ke pekan untuk menukar kad Bank Islam. Sesampainya kami di Bank Islam, kami mendapati terdapat ramai pelajar sedang menunggu giliran untuk menukar kad Bank Islam. Saya memerhati keadaan sekeliling dan  mendapati bahawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris merupakan bakal guru yang bitara dan masih mengamalkan nilai-nilai murni antaranya hormat-menghormati. Alhamdulilah, selang beberapa minit saya dapat menyelesaikan urusan tanpa ada sebarang masalah ataupun gangguan. Bukan itu sahaja, tujuan kami ke sana juga  adalah untuk mencari hadiah bagi Program Pragaduasi. Semasa kami membeli-belah untuk mencari barang-barang, saya ternampak sekumpulan budak remaja  sedang duduk berpeleseran di kaki lima kedai. Saya mendapati mereka dalam lingkungan usia belasan tahun. Saya amat kecewa dengan sikap mereka disebabkan dalam usia yang masih muda, mereka sudah berjinak-jinak dengan budaya merokok. Mereka tanpa segan-silu merokok dihadapan khalayak ramai malah mereka dengan beraninya mengeluarkan kata-kata manis untuk mengurat anak-anak gadis yang lalu dihadapan mereka. Saya dan kawan-kawan tidak menghiraukan perlakuan mereka malah kami meneruskan aktiviti kami di pekan dengan berbelanja barang-barang.

BICARAKU

Amalan merokok merupakan salah satu amalan yang menyumbang kepada gaya hidup tidak sihat. Secara umumnya, dapat dikatakan bahawa rokok merupakan sejenis bahan yang berbahaya kepada perokok dan juga orang sekeliling. Asap rokok merupakan salah satu penyumbang kepada 85% kanser antaranya kanser paru-paru. Oleh sebab itu, orang sekeliling perokok merupakan penyumbang utama kepada penyakit kanser. Jika kita lihat kandungan kimia yang terkandung pada sebatang rokok amat banyak dan akan mengakibatkan pelbagai penyakit antaranya keguguran, ulser, kanser paru-paru dan sebagainya. Antara bahan kimia yang terdapat pada sebatang rokok adalah tar, karbon monoksida, aseton, methanol, urea, hydrogen sianida dan sebagainya. Bahan-bahan kimia inilah yang akan mendatangkan kerosakan pada organ tubuh manusia dan seterusnya menyumbang kepada meningkatnya pesakit kanser.

Sayangnya generasi muda pada masa sekarang sudah berjinak-jinak dengan amalan ini. Kadang-kadang saya berasa pelik dengan remaja muda pada masa sekarang yang berpendapat bahawa jika mereka tidak merokok maka mereka dikatakan  tidak matang dan bukannya lelaki sejati. Oleh itu, kita sebagai masyarakat perlu membimbing anak muda pada masa sekarang supaya mereka tidak mengamalkan gaya hidup yang tidak sihat. Ibu bapa merupakan faktor utama yang akan membimbing mereka kearah kebaikan. Ibu bapa perlu menunjukkan amalan positif kepada anak-anak dengan mengamalkan gaya hidup sihat antaranya beriadah. Ibu bapa juga perlu menunjukkan tingkah laku yang baik kepada anak-anak. Bak kata pepatah bapa borek anak rintik. Bukan itu sahaja, pihak sekolah perlu menjalankan tanggungjawab mereka dengan mengadakan kempen atau pameran “Tak Nak Merokok” atau “Katakan Tidak Pada Rokok”. Hal ini disebabkan salah satu punca remaja terlibat dalam gaya hidup tidak sihat ini bermula di peringkat sekolah. Mereka mudah terpengaruh dengan kawan-kawan dan persekitaran yang tidak sihat. Dengan adanya kerjasama antara ibu bapa dan pihak sekolah maka masalah ini dapat diselesaikan. Persis kata peribahasa melayu, berat sama dipikul ringan sama dijinjing. 

SITUASI 8 : PASAR AWAM


Pada hari ini, saya bersama kawan saya pergi ke Pasar Awam Tanjung Malim untuk membeli barang basah antaranya adalah ayam, ikan dan sayur. Kami pergi ke sana pada pukul 8.30 pagi. Setibanya kami di pasar, kami terus menuju ke tempat yang menjual sayur-sayuran. Sayur-sayuran yang dijual oleh penjual amat segar sehingga mendorong kami untuk membelinya.  Kami membeli sawi, peria, sawi jepun, bendi, tomato dan sebagainya. Saya suka makan tomato kerana tomato mempunyai banyak khasiat terutamanya pada kulit. Selepas membayar, saya dan kawan saya menuju ke tempat yang menjual ayam. Kami berasa seronok kerana peniaga sering kali memberikan senyuman kepada kami walaupun kami baru pertama kali menjejakkan kaki ke sana. Semasa kawan saya sibuk memilih ikan yang hendak dibelinya, saya memerhati keadaan sekeliling. Saya berasa bertuah tinggal di sebuah negara yang aman dan damai tanpa adanya peperangan. Di sana, bukan sahaja kaum Melayu yang menjadi peniaga malah kaum Cina dan India juga menjadi peniaga untuk menyara kehidupan mereka. Saya berasa gembira dengan sikap kaum India dan Cina yang melayan pelanggan dengan baik walaupun pelanggannya bukan daripada kaum mereka.Alangkah terkejutnya saya apabila bahu saya disentuh seseorang. Rupa-rupanya kawan saya yang menyentuh bahu saya. Setelah membeli barang yang diperlukan, saya bersama kawan saya terus pulang ke rumah.

BICARAKU

Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai masyarakat yang berbilang kaum. Walaupun masyarakatnya berbilang kaum namun dapat dikatakan bahawa Malaysia sebuah negara yang aman dan damai. Hal ini disebabkan kita sebagai rakyat Malaysia bebas bergerak ke mana-mana sahaja tanpa ada sebarang perasaan takut atau gentar. Masyarakat bebas melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai peniaga, pendidik, pelajar, dan sebagainya. Kepelbagaian kaum mendatangkan impak positif kepada rakyat Malaysia. Contohnya, kaum Melayu dapat mengetahui budaya masyarakat Cina dan India. Begitu juga dengan masyarakat Cina dan India. Saya berharap peristiwa 13 Mei tidak berlaku lagi. 13 Mei merupakan peristiwa yang tidak dapat dilupakan oleh kita sebagai masyarakat Malaysia. Pada waktu itu, berlakunya permusuhan kaum yang telah mengakibatkan banyak kemusnahan dari segi harta benda. Ketiga-tiga kaum ini berperang antara satu sama lain.  Situasi ini yang mendatangkan kesan negatif kepada negara dari segi ekonomi, politik, sosial dan agama. Saya berharap peristiwa ini tidak akan berulang lagi. Kita perlu bersyukur dengan keadaan negara kita yang aman dan damai tanpa adanya persengketaan. 

SITUASI 7 : ADUH, SAKITNYA!



BABY I LOVE YOU
LOVE YOU LOVE YOU SO MUCH
SINCE I FOUND OUT
LOVE IS YOU

Alunan muzik daripada telefon bimbit saya membuatkan saya  terjaga daripada mimpi yang indah. Saya  melihat jam di dinding tepat jam 7.30 pagi. Telefon bimbit saya  berbunyi lagi dengan alunan muzik yang sama.. Saya  kehairanan dan berfikir sebab adik  menelefonku pada awal pagi. Saya  menjawab panggilan adik dengan nada suara yang rendah dan lembut  agar tidak mengganggu kawan saya yang sedang lena dibuai mimpi.

Along   : Assalamualaikum.
Angah  : Waalaikumusalam. Along buat ape je?
Along   : Along baru bangun tidur. Kenapa angah telefon along pada awal pagi ni?
Angah  : Semalam, angah telefon ibu. Ibu beritahu angah bahawa akim terlibat dalam  
   kemalangan jalan raya.
Along   : Teruk ke? Kemalangan dengan apa?
Angah  :Tidak teruk. Ala, kemalangan antara kereta dengan motor. Kemalangan itu terjadi
  sewaktu dia hendak pergi ke tempat kerja. Dia tidak bersalah malah orang cina yang
  memandu kereta itu  yang bersalah.

Saya bersyukur terhadap Allah kerana akim tidak mengalami kecederaan yang teruk. Akim merupakan adik saya yang kedua dan telah  menjalankan tanggungjawabnya  sebagai seorang anak dengan bekerja di sebuah syarikat. Saya berasa kecewa dengan sikap  pemandu pada masa sekarang yang memandu sambil lewa di jalan raya. Amalan hormat-menghormati dan bersabar sering kali diabaikan malah mereka lebih mementingkan diri ketika memandu. Hal ini yang mendatangkan impak negatif kepada diri malah kepada orang lain.

BICARAKU



Papan tanda di atas sering kali kita lihat di tepi jalan raya. Pemandu yang berhemah merupakan pemandu yang sentiasa memikirkan orang tersayang. Mereka akan memandu dengan berhati-hati agar tidak terlibat dalam kemalangan jalan raya. Kita sebagai pemandu mampu mengelakkan diri daripada terlibat dalam kemalangan jalan raya dengan sentiasa mengamalkan amalan bertimbang rasa. Janganlah kita terburu-buru semasa memandu untuk sampai ke destinasi yang dituju. Banyak langkah-langkah yang boleh pemandu lakukan untuk mengelakkan diri daripada terlibat dalam kemalangan jalan raya. Antaranya adalah

  • Memeriksa keadaan kenderaan agar berada dalam keadaan baik. Contohnya, tayar, brek, air, minyak dan sebagainya.
  • Memastikan pemandu berada dalam keadaan selesa semasa memandu.
  • Pemandu janganlah memandu tanpa rehat.
  • Merancang perjalanan dengan sebaik-baiknya.
  • Mematuhi had laju yang telah ditetapkan

Wednesday, 13 March 2013

SITUASI 6 : SUAMIKU TAK ROMANTIK TAPI AUTISTIK


Pada hari ini, saya menghabiskan membaca novel “Suamiku Tak Romantik Tapi Autistik”. Novel ini berkisarkan seorang gadis yang bernama Nura Alia. Nura Alia jatuh cinta dengan seorang jejaka tampan yang bernama Syed Azmi anak kepada usahawan yang terkenal. Perkenalan mereka bermula apabila kawan Nura Alia yang bernama Romy telah menawarkan pekerjaan kepada Nura Alia sebagai detektif. Syed Azmi begitu tertarik dengan perwatakan Nura Alia yang lincah dan comel dan memasang rancangan untuk memikat Nura Alia. Nura Alia ditugaskan untuk mencari maklumat berkaitan teman wanita Syed Azmi iaitu Isabela. Malangnya, penyiasatan yang dilakukan Nura Alia tidak sampai ke penghujungnya. Syed Azmi dikenali sebagai buaya darat telah memasang perangkap untuk memikat Nura Alia. Syed Azmi menggunakan kata-kata manis untuk memikat Nura Alia. Akhirnya Nura Alia jatuh ketangan Syed Azmi. Mereka menjalani hubungan cinta selama tiga bulan. Setelah tiga bulan menjalin kasih, Nura Alia hanyut dalam lautan cinta bersama Syed Azmi sehinggakan dia lupa akan tanggungjawabnya sebagai seorang anak. Malangnya kasih sayang yang diberikan dibalas dengan tuba. Pada suatu hari, Syed Azmi mahu memperkosa Nura Alia. Tetapi dengan usaha yang begitu gigih, Nura Alia berjaya meloloskan diri daripada cengkaman nafsu syaitan Syed Azmi.
            Nura Alia berasa kecewa terhadap Syed Azmi. Perlakuan yang tidak bermoral itu menyebabkan Nura Alia menyimpan perasaan dendam terhadap Syed Azmi. Perasaan dendam yang begitu kuat menyebabkan Nura Alia semakin  berani mengambil risiko. Nura Alia bertekad untuk merampas semua harta Syed Azmi agar dendamnya terbalas. Bedasarkan sinopsis novel “Suamiku Tak Romantik Tapi Autistik” , saya berasa kecewa dengan sikap kaum adam pada masa sekarang yang memandang rendah pada kaum hawa. Hal ini berlaku pada Nura Alia yang hampir-hampir diperkosa oleh Syed Azmi. 

BICARAKU

Wanita adalah makhluk yang paling unik diciptakan tuhan untuk kaum lelaki. Oleh sebab itu kaum wanita dikatakan sebagai tulang belakang bagi kaum  lelaki. Kata orang perempuan itu seperti bunga yang perlu dijaga dan dibelai dengan lembutnya. Jika kita berbalik pada zaman jahiliah, dapat dikatakan bahawa kaum wanita merupakan kaum yang dianggap hina. Bayi perempuan dibunuh hidup-hidup. Bukan itu sahaja, kaum wanita diperlakukan dengan keji seperti didera, dirogol dan sebagainya. Manakala pada zaman sekarang juga wanita dijadikan bahan untuk memuaskan nafsu lelaki. Jika kita lihat didada akhbar atau dikaca televisyen dapat dikatakan  bahawa hampir setiap hari kes rogol menjadi bualan masyarakat pada masa sekarang. Mangsanya adalah kaum wanita yang terdiri daripada kaum Melayu. Kemana  perginya iman mereka?. Kemana hilangnya rasa malu mereka terhadap Allah, masyarakat dan keluarga?. Sedarlah kaum lelaki, kaum wanita perlu dijaga dan diberikan kasih sayang. Janganlah kita menjadikan kaum wanita sebagai bahan pemuas nafsu serakah.

Bukan itu sahaja, saya juga berasa kecewa terhadap generasi muda pada masa sekarang yang menjalin kasih sebagai pasangan bukan muhrim. Mereka tanpa segan silu melakukan pelbagai perkara yang tidak menyenangkan mata memandang dan mendatangkan keburukan antaranya adalah berpegangan tangan, bercumbu, berdua-duan ditempat gelap, kaum lelaki membonceng kaum wanita dan sebagainya. Hal ini akan menyebabkan perkara yang tidak diingini berlaku antaranya berlakunya zina. Apabila perbuatan zina berlaku maka secara tidak langsung isu pembuangan bayi berlaku. Jelas menunjukkan bahawa statistik kadar kes pembuangan bayi semakin meningkat pada tahun 2009 hingga tahun 2011.

Friday, 8 March 2013

SITUASI 5 : SOLAT JUMAAT

BERBAJU MELAYU BERSAMPING SONGKET, 
MENUJU KE MASJID BERSAMA SALLEH, 
SOLAT JUMAAT TIDAKLAH SENGKET,
TINGKATKAN KEIMANAN LELAKI SOLEH. 

Pada kali ini, saya akan mengulas satu isu iaitu "Solat Jumaat". Solat Jumaat merupakan solat yang perlu dilaksanakan oleh kaum adam pada hari Jumaat. Tetapi, masih ada golongan muda pada masa sekarang yang memandang enteng terhadap amalan ini. Saya tidak mereka-reka cerita tetapi ini adalah kenyataan. Pada hari ini, saya pergi ke kedai Bohsiang untuk membeli barang. Saya berasa hairan dengan sikap anak muda yang duduk berkumpul di kaki lima kedai tersebut. Tanpa menghiraukan mereka, saya terus mencari barang untuk dibeli. Saya membeli barang-barang untuk membuat Puding Jagung antaranya susu, gula, jagung, buah-buahan dan sebagainya. Setelah membayar, saya terus menuju ke tempat meletak kenderaan. Saya mendapati mereka masih berada di kaki lima. Saya berasa amat kecewa dengan sikap generasi muda pada masa sekarang yang tidak menunaikan tanggungjawab mereka sebagai muslim.

ULASAN 

Pada hari ini, kita dapati semakin ramai umat Islam meninggalkan Solat Jumaat. Mereka leka dengan menjamu selera dan duduk berborak di kedai makan sedangkan orang lain sedang khusyuk menunaikan Solat Jumaat. Solat Jumaat merupakan solat fardu dua rakaat yang menggantikan solat Zohor dan dilakukan secara berjemaah setelah selesai Khutbah Jumaat. Kaum lelaki perlu menunaikan Solat Jumaat walaupun mereka berada dalam keadaan sibuk. Terdapat hadis yang mengatakan bahawa Solat Jumaat merupakan amalan wajib bagi kaum lelaki muslim. 
Sabda Rasulullah SAW:
"Solat Jumaat itu hak wajib dikerjakan oleh tiap-tiap orang Islam dengan berjemaah, kecuali empat jenis manusia: hamba sahaya yang dimiliki, perempuan, anak-anak, dan orang yang sakit." (Hadis Riwayat Abu Dawud & Hakim).

Kaum lelaki dilarang meninggalkan Solat Jumaat kerana Solat Jumaat merupakan hukum Allah yang wajib untuk dilaksanakan oleh kaum lelaki. Jika mereka meninggalkan hukum Allah ini maka mereka akan mendapat balasan yang setimpal terhadap dosa yang telah dilakukannya. 



SITUASI 4 : SAYANGI KUCING

Kucing merupakan hidupan yang perlu disayangi bukannya diseksa atau dianiaya. Pada hari khamis yang lepas, saya bersama ibu pergi ke klinik untuk mendapatkan rawatan. Semasa saya menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan, saya keluar daripada bilik menunggu untuk menghirup udara segar. Saya duduk berehat di sebuah pondok yang telah disediakan oleh pihak berkenaan. Pondok yang telah dibina amat cantik dan begitu unik ukirannya. Sedang asyik mengamati keindahan alam, tiba-tiba saya mendengar satu suara yang amat nyaring bunyinya. Saya tercari-cari arah kedatangan bunyi tersebut. Saya berjalan mendekati semak dan  longkang. Saya berasa terkejut kerana ada seekor anak kucing di dalam longkang tersebut. Saya mendapati ada kesan pukulan pada badannya. Saya berasa sedih apabila melihat keadaan kucing tersebut yang terpaksa menghadapi kehidupan yang menyakitkan akibat perbuatan manusia yang tidak berperikemanusiaan. Tanpa berfikir panjang, saya terus membeli sebuku roti di kedai yang berdekatan.  Tepat jam 9.30 pagi,  Ibu mendekati saya dan memberitahu bahawa sekarang adalah giliran aku untuk berjumpa dengan doktor. 

ULASAN

Saya berasa amat sedih dengan sikap manusia yang mengamalkan amalan keji terhadap haiwan. Haiwan juga merupakan hidupan yang telah diciptakan tuhan. Secara umumnya, manusia mempunyai otak begitu juga dengan haiwan. Tetapi yang membezakannya adalah manusia boleh menggunakan akal tersebut untuk  berfikir dan membezakan antara kebaikan atau keburukan manakala haiwan tidak berfikir dan tidak dapat membezakan antara kebaikan atau keburukan. Jadi dapat dikatakan bahawa kita sebagai manusia perlu bersyukur dengan nikmat yang telah dianugerahkan oleh-Nya. Kita janganlah menganiaya haiwan dengan cara menendang dan memukul haiwan tersebut sehingga mendatangkan kecederaan atau kematian. Kita perlu mengamalkan sikap penyanyang terhadap haiwan lebih-lebih lagi kucing. 

SITUASI 3 : SENYUM ITUKAN SEDEKAH

Pada hari rabu yang lalu, saya dan kawan-kawan pergi ke SITC untuk membeli-belah. Di sana terdapat banyak gerai yang menjual buku-buku seperti majalah, novel, komik dan sebagainya.  Bukan itu sahaja, ada juga penjual yang menjual buku berbentuk ilmiah antaranya Asas Kewartawanan, Sintaksis, Olahraga dan sebagainya untuk dijadikan rujukan kami sebagai pendidik. Setibanya kami di  gerai  yang menjual peralatan komputer, kami mendapati penjual tersebut tidak memberikan sebarang reaksi terhadap kami. Penjual tersebut hanya memandang kami tanpa memberikan sedikit senyuman. Penjual tersebut hanya mengatakan "Dik, hendak beli apa?". Kami berasa kecewa dengan sikap sesetengah penjual yang hanya menginginkan keuntungan semata-mata tanpa memikirkan perasaan penjual. 

Kami juga ada mengunjungi gerai yang menjual pakaian wanita. Kami mendapati banyak pakaian yang dijual oleh peniaga antaranya jubah, kemeja, seluar, kain dan sebagainya. Kami berasa tertarik untuk membeli pakaian disitu. Hal ini disebabkan sikap penjual yang mesra dengan peniaga malah bibirnya tidak lekang untuk memberikan senyuman. Bukan itu sahaja, kata-kata manis sering kali terbit dari bibirnya yang nipis antaranya "Mari dik, baju-baju disini murah-murah" , "Tudung yang cantik untuk adik yang manis" dan sebagainya. Kami menjadi rambang mata untuk membeli pakaian lebih-lebih lagi baju-baju yang dijual di situ amat cantik. Saya mendapati ramai pelanggan yang tertarik untuk membeli pakaian berbanding membeli peralatan komputer. 


ULASAN 



Senyum merupakan gerak bibir yang ternaik pada hujungnya yang membayangkan rasa suka (geli hati dan setuju) tanpa mengeluarkan suara. Berdasarkan maksud senyum dapat dikatakan bahawa amalan ini amat senang dan mudah untuk diamalkan namun masih ada segelintir yang tidak mengamalkannya lebih-lebih lagi dalam kalangan peniaga. Kita digalakkan untuk memberikan senyuman kepada sesiapa sahaja tidak kira tua ataupun muda. Terdapat banyak implikasi positif apabila kita mengamalkan amalan ini antaranya muka nampak lebih muda, menyihatkan badan, mengurangkan tekanan dan sebagainya. Kata orang senyum itu sedekah, senyum itu awet muda, senyum itu kemesraan, senyum itu penambah kasih dan senyum itu pelaris jualan. Tuntasnya dapat dikatakan bahawa amalan ini bukannya amalan yang sia-sia jika kita mengamalkannya. https://www.youtube.com/watch?v=K6ENATcYxXQ

Wednesday, 6 March 2013

SITUASI 2 : BAS KIFAH


Pada hari ini merupakan hari yang memenatkan. Selepas kelas Seminar Refleksi, saya bersama kawan saya tidak terus pulang ke rumah malah kami bersama-sama pergi ke perpustakaan Tuanku Bainun. Tujuan kami ke sana untuk mencari bahan rujukan bagi subjek Seminar Refleksi. Kami menghabiskan masa selama tiga jam untuk mencari bahan dan melakukan sedikit perbincangan kumpulan. Setelah selesai mencari bahan yang dikehendaki, kami terus keluar daripada perpustakaan dan berjalan menuju ke perhentian bas. Kami amat kecewa kerana ada sesetengah penumpang yang mengamalkan amalan pentingkan diri. Mereka tidak memberi ruang kepada penumpang lain untuk menaiki bas. 

ULASAN Pada pandangan saya, kita tidak perlu mengamalkan amalan pentingkan diri sendiri walaupun kita berada dalam situasi yang gentir. Contohnya dalam situasi diatas, amalan bertimbang rasa perlu diterapkan apatah lagi kita sebagai seorang guru. Amalan ini bukan sahaja amalan yang sia-sia malah amalan ini merupakan salah satu amalan yang dapat mengeratkan silaturahim.  

SITUASI 1 : MARAH-MARAH




            Pada waktu petang, saya mengajak kawan saya untuk membeli makanan di kedai Sahabat. Kebetulan pada masa itu, kami tiada kelas pada waktu petang. Kami berjalan dengan penuh berhati-hati agar tidak tergelincir. Hal ini disebabkan pada hari ini, hujan turun dengan lebatnya. Cuaca yang sejuk mempengaruhi perut kami yang lapar. Semasa dalam perjalanan, kami melihat ada sebuah gerai yang menjual keropok lekor. Tanpa melengahkan masa lagi, kami terus melangkah menuju ke kedai tersebut. Semasa kami menunggu giliran untuk membeli keropok lekor, kami mendengar perbualan antara seorang anak dengan ayahnya.

Anak : Ayah, habis basah baju ain!.
Ayah: Alah, ayah tidak sengaja. Bolehke kertas ini melindungi makanan kita daripada dibasahi air hujan.
Anak : Ayah nie. Ain da penat buat keje nie sorang-sorang. Ayahla pula buat.
Ayah : Macam mana ayah nak buat. Tengok tue, kerusi pun tak dialihkan.
Anak: Macam mana nak alihkan kerusi tu. Ain tengah sibuk nie. Tak faham ke!

            Kami berasa terkejut apabila mendengar rungutan daripada seorang anak kepada ayahnya. Bukan itu sahaja,anaknya sanggup menggunakan nada yang tinggi untuk bercakap dengan ayahnya. Kelihatan riak muka ayahnya yang sedih dan kecewa dengan perangai dan tindakan anaknya yang bersikap kurang ajar. Kami berasa geram dengan tindakan kurang sopan yang dilakukan anaknya. Setelah selesai membeli keropok lekor, kami terus berlalu untuk pulang ke rumah.

ULASAN

Saya merasakan perbuatan tersebut tidak perlu dilakukan oleh seorang anak kepada kedua ibu bapanya. Ibu merupakan insan yang bergadai nyawa untuk melahirkan kita manakala insan yang bergelar ayah pula tidak pernah mengenal arti penat lelah dalam mencari rezeki. Mengapa kita hendak melukakan hati mereka dengan kata-kata yang kasar? Padahal mereka tidak pernah meninggikan suara kepada kita melainkan kita ada membuat salah. Kita perlu menggunakan nada suara yang rendah atau menggunakan bahasa yang lembut untuk berkomunikasi dengan mereka. Kata orang, hati ibu bapa kita semakin hari semakin lembut seperti kulit telur. Jadi sebagai seorang anak yang soleh dan solehah kita perlu menghormati kedua ibu bapa kita selagi mereka masih hidup. Salah satu kunci dalam kejayaan seorang anak adalah berkat doa daripada kedua orang tuanya. Tanpa doa daripada mereka kejayaan yang dikecapi tidak diredhai-Nya.